Monday, November 26, 2007

Terengganu Bersedia Anjur Kejohanan Dunia Kuda Lasak 2008

Yang DiPertuan Agong memacakkan bendera ketika
merasmikan Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu
2007 sambil disaksikan Dato' Seri Idris dan Dato' Din Adam.


Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2007 ternyata berjaya menarik puluhan peserta antarabangsa seterusnya memberi usaha positif terhadap Terengganu dalam menjayakan pertandingan Kuda Lasak Dunia pada 2008 nanti.

Lantas usaha kerajaan negeri juga dilihat dalam mempromosikan Terengganu sebagai lokasi menarik bagi sukan lasak antarabangsa patut dialu-alukan.

Kejohanan kali ini disertai 41 peserta termasuk Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin disertai dari 13 negara turut menampilkan peserta dari ranking terbaik dunia antaranya Maria Alvarez Ponton (Sepanyol), Jack Begaud (Perancis) dan Mercedes Tapia (Agentina).

Dalam pada itu, Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah berkenan merasmikan Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2007 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu, hari ini (9 November).

Hadir sama, Yang Di Pertua dan Ahli-ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja; Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan NGO Negeri, Dato’ Din Adam dan Timbalan Pengerusi Yayasan Di Raja Sultan Mizan (YDM), Dato’ Seri Salleh Mohd Nor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata masyarakat tempatan kini mula meminati sukan berkuda dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan.

“Usaha memajukan sukan berkuda patut diteruskan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sebegini kerana mampu melahirkan bakat baru,” kata Dato’ Seri Idris ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, kejohanan kali ini turut menyediakan pelbagai acara sampingan kepada para pengunjung termasuklah persembahan dari artis tempatan.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 November turut mendapat liputan meluas media antarabangsa yang turut membuat liputan secara langsung disiarkan ke seluruh Eropah.

Para peminat seluruh dunia turut berpeluang mendapat perkembangan mengenai kejohanan berkenaan menerusi laman web www.endurance.net serta laman web rasmi kejohanan tersebut iaitu www.malaysia-wec.com


Sekretariat ECER Dilancar



Dato' Seri Idris, Dato' Wan Mohamad Mukthar,
Dato' Mokthar dan Dato' Mazlan di
hadapan
bangunan Sekretariat ECER Teren
gganu pada
pelancaran
sekretariat itu di Kuala Terengganu.

Belumpun sampai sebulan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melancarkan Sekretariat ECER, semalam (26 November).

Pelancaran Sekretariat ECER di Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh bagi memastikan pembangunan ECER dapat dimulakan dengan cepat melalui penyelarasan oleh Kerajaan Negeri serta agensi terlibat.

Pejabat Sekretariat ECER ditempatkan di bangunan UMNO Jalan Masjid Abidin, berhadapan Istana Maziah, Kuala Terengganu yang akan bertanggungjawab menyelaras kerja-kerja berkait dengan agensi pelaksana semua projek di bawah ECER.

Dengan adanya Sekretariat ECER ini, mereka yang dipertanggungjawabkan akan dapat memberi maklumat dan laporan terkini mengenai perkembangan ECER dari semasa ke semasa.

Sekretariat ini juga dijangka membuat laporan kepada Kerajaan Negeri setiap minggu bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar dan rakyat Terengganu dapat menikmati perubahan pembangunan daripada pelbagai sektor impak kelancaran perjalanan ECER.

Sekretariat diketuai Dato’ Wan Mohamad Mokhtar Mohd Nor, 61, seorang anak tempatan yang sebelum ini menjadi penasihat kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) sejak setahun lalu serta bekas Ketua Pengarah Perancang Bandar dan Desa bertujuan bagi memudahkan cara segala program berkaitan yang dikenal pasti dalam ECER.

Dato’ Seri Idris berkeyakinan apa yang diutarakan Perdana Menteri mengenai peruntukan RM6 billion untuk menjana ECER mampu dilaksanakan dengan segera dan tepat.

Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri menerusi sekretariat ECER masih dalam peringkat perbincangan mengenai projek yang harus diberi keutamaan dan tumpuan selain menyelaraskannya dengan agensi berkaitan termasuk Upen.

Dalam pada itu, menurut beliau, dalam semua rancangan pembangunan negara, fokus utama kerajaan adalah untuk meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup rakyat serta mencapai pembangunan sosio ekonomi.

Ketidakseimbangan pembangunan yang wujud antara negeri pantai barat dan timur sedikit sebanyak mewujudkan ketidakseimbangan pendapatan per kapita dan isi rumah.

Selain itu, kadar ketara kemiskinan lebih tinggi di Pantai Timur, pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar rendah serta jurang ketara alam pembangunan infrastruktur dan kemudahan utiliti.

Unit Komunikasi Negeri


Dato' Seri Idris mendengar taklimat mengenai
projek pembangunan Terengganu daripada
Dato' Wan Mohamad Mukthar pada pelancaran
Sekretariat ECER Terengganu di Kuala Terengganu.



Dato' Seri Idris menandatangani plak perasmian
pelancaran Sekretariat ECER Terengganu di Kuala Terengganu.




Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region) atau ECER merupakan wilayah pembangunan ekonomi di Malaysia yang dirasmikan pada hari Selasa, 29 Oktober 2007 oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Program atas inisiatif kerajaan pusat ini merupakan program ekonomi ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di utara Semenanjung Malaysia. ECER melibatkan tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta daerah Mersing di Johor. Luas kawasan yang terlibat ialah 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia. ECER melibatkan 3.9 juta penduduk.
Pembangunan ECER ini adalah selama 12 tahun dari tahun 2007 hingga 2020. Peneraju utama ialah perbadanan minyak dan gas iaitu Petronas.

Perasmian

Perasmian peringkat negeri Terengganu diadakan di Taman Awam Batu Burok. Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa yang mewakili Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Abdullah Ahmad Badawi turut merasmikan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) dan Taman Ilmu. KTCC merupakan destinasi pelancongan, persidangan dan pameran antarabangsa (M.I.C.E) yang bertemakan "pintu masuk ke ECER dan bandar maritim". Taman Ilmu di Batu Buruk bakal menjadi pusat kecemerlangan industri pendidikan dan "edutourism" yang mampu menarik pelajar dari seluruh dunia ke Terengganu.

Perasmian peringkat negeri Kelantan diadakan di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat menyambut baik usaha Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Datuk Husam Musa berjanji kerajaan PAS akan memberi komitmen "1,000 peratus" untuk menjayakan 23 projek di Kelantan sepanjang tempoh 12 tahun itu.

Kos

Kos pembangunan akan dibiayai oleh syarikat Petronas iaitu sebuah perbadanan milik kerajaan Malaysia. Fasa pertama melibatkan kos RM6 bilion. Kos sebenar ialah RM112 bilion. Ia akan disalurkan melalui melalui kajian semula program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) serta penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9.

227 projek bernilai RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan dilaksanakan oleh Petronas dan lain-lain.

Teras pembangunan

Teras utama pembangunan ialah:


Pelancongan - membina kemudahan pusat peranginan dan hotel bertaraf antarabangsa di kawasan pesisir pantai. Bakal menarik kehadiran 7.4 juta pelancong luar negara dan 21.4 juta pelancong tempatan menjelang 2020.

  • Kuala Terengganu akan menjadi hab aktiviti pinggir pantai, terminal pelayaran, marina, pasaran kraftangan, pusat membeli belah, taman dan beberapa taman tema.
  • Taman Negara Endau-Rompin.
  • Jeti Mersing.
  • Pulau Tioman bakal menjadi daya tarikan pelancongan negara.
  • Pengkalan Kubur menjadi pusat pelancongan sempadan dan pusat perdagangan peringkat Asia Tenggara / segitiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand.
  • Kota Baru City Centre (KBCC) di Palekbang berhampiran Kota Baru akan dibangunkan.
  • Sungai Nenggiri, Sungai Burok, Sungai Jenera, Sungai Pulan serta kawasan sekitarnya akan dimajukan sebagai taman negara.

2. Industri minyak, gas dan petrokimia.

3. Industri pembuatan - industri hiliran berasaskan minyak sawit, kayu dan susu getah serta hasil pertanian lain untuk mengeluarkan barangan seperti bahan oleokimia, perabot, sarung tangan dan makanan halal.
Taman Industri Halal di Pasir Mas dibina bagi menjana sektor hiliran.

4. Pertanian

  • Hulu Setiu - projek agropolitan seluas 2,000 hektar .
  • Kuala Berang, Hulu Terengganu - Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Kambing Nukleus.Dijangka mengeluarkan 10,000 induk kambing seperti Jamnapari, Boer dan Anglo Nubian yang bermutu tinggi pada 2015. Ketika ini Malaysia mengimport 70,000 ekor kambing dari Australia dan New Zealand setiap tahun. Perjanjian kerjasama (MoU) antara Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Kambing Nukleus, di antara JPH dengan Marditech Corporation Sdn Bhd dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) telah ditandatangani.
  • Pusat penyelidikan baka ternakan seluas 800 hektar akan dibina di Tersat, Kuala Berang.
  • Ladang integrasi kambing dengan ladang getah seluas 2,000 hektar, milik Risda di Besut dan Hulu Terengganu. Kambing cepat matang dan peratusan penggunaan tanahnya adalah rendah berbanding lembu dan kerbau.
  • Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan memajukan 5,200 keluarga di Gua Musang. Ia melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
  • Gunung Musang, Dabong dan Lembangan Sungai Nenggiri diwartakan sebagai Taman Negeri. Lebih 10,000 orang Asli daripada suku Temiar yang miskin tegar akan menikmati kemajuan ECER ini.
  • Lembah Pertanian Moden di Bachok dan Pasir Puteh - ladang buah-buahan dan sayur-sayuran seluas 2,000 hektar.
  • Terminal Makanan Nasional (Teman) di Kota Baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bakal memajukan 4,000 petani.
  • Ladang ayam di Gua Musang.
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) akan memajukan 4250 keluarga dengan pertanian komersial.
  • Projek tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai.

5. Pendidikan

  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
  • Taman Ilmu di Batu Buruk seluas 283 hektar akan menjadi bandar baru universiti. Bakal didiami kira-kira 10,000 penduduk.

6. Prasarana

  • Empangan akan dibina oleh syarikat tempatan.
  • Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra turut diperbesarkan.
  • Jalan pesisir pantai dari Kota Baru ke Mersing akan dilebarkan menyamai lebuh raya.

7. Perikanan / Pelabuhan

  • Pelabuhan Kemaman.
  • Pelabuhan Kuantan akan dinaiktaraf.
  • Jeti nelayan di Tok Bali, Pasir Puteh.

Sunday, November 25, 2007

ASAL NAMA TERENGGANU


Nama Negeri Terengganu semenjak yang diketahui adalah kekal disebut seperti namanya sekarang tidak berubah sebagaimana yang berlaku kepada Negeri Pahang dari nama"Indera Pura" dan Singapura daripada nama "Temasik" dan lain-lain negeri.

Menurut cerita yang dikatakan dapat didengar daripada Marhum Baginda (Sultan Umar, Sultan Terengganu yang ke sembilan memerintah 1839-1875, kononnya pada zaman dahulukala sebelum negeri ini dikenali dengan Terengganu, ada suatu rombongan dari negeri Pahang mengembara di sebelah Ulu Terengganu kerana memburu. Apabila angkatan itu sampai ke sungai Terengganu Mati, seorang daripadanya ada berjumpa sebatang taring, kata seorang di antara mereka; "Taring apakah?, jawab seorang lain " Taring anu…" kerana tidak ingat hendak menyebut namanya, dan kisah perbualan antara mereka habis begitu sahaja.Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu ada berjumpa pula dengan seekor rusa dan dapat dibunuhnya. Apabila orang-orang yang berjumpa rusa itu membawa balik perburuannya ke tempat perhentian mereka, maka bertanyalah masing-masing "di manakan dapat rusa itu? Jawab mereka yang berburu " di tempat taring anu". Ada pula di antara kumpulan itu berjumpa kayu gaharu, apabila ditanya; jawabnya di tepi sungai taring anu", lama kelamaan lekatlah dipanggil nama"Terengganu".

Penulis ada juga mendengar cerita-cerita lain menyebabkan dinamakan "Terengganu". Seumpama cerita yang menyatakan asalnya daripada "Terang-nya-ganu"dan "terangnya anu" dan ada pula cerita yang menyatakan menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan"cahaya kilat yang memancar, di kaki langit" kejadian itu berlaku pada suatu malam kononya ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan, kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang di angkasa langit berhadapan dengan mereka disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat sebagai petir membelah bukit, sinar cahayanya terang-benderang itu sampai ke Kuala Terengganu, oleh kerana hendak memperingati had sempadan terangnya cahaya yang ganjil itu maka dinamakan tempat itu "Terang Ganu" kemudian manakala sudah menjadi negeri, dinamakan negeri itu "Negeri Terengganu" (terang hingga ke sana). Sama ada cerita ini benar atau tidak, belumlah dapat penyusun mengesah-kannya.Menurut cerita yang dikemukakan oleh Dato' Kamal Wangsa Jafar bin Mampak seperti berikut pula: "Ada satu taring yang besar tidak sampai gading gajah tetapi lebih besar dari taring-taring binatang liar yang didapati di sebuah pulau yang berhampiran dengan kuala sungai iaitu Pulau Duyong.

Kerana berlainan sangat rupa taring itu, maka ketua pulau itu pun menyembahkan taring tersebut kepada Raja. Apabila Raja bertanyakan taring apa itu, dengan tergesa-gesa mereka menyembahkan "Taring anu Tuanku".Oleh kerana pulau itu di seberang sungai Terengganu yang berhampiran dengan kualanya, maka sungai itu pun dipanggil orang sungai "Taring Anu" hingga orang-orangnya pergi ke hulu sungai pun memanggilnya sungai Taring Anu.

Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu(Kuala Terengganu).Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang " Ular Mayang" orang Kelantan kata "Pelangi".

Mereka pun bertanya : Di sini orang panggil apa?Jawab orang negeri ini: "Kami panggil ganu".Kata mereka:"terang sungguh ganu di sini".Apabila mereka itu balik ke Kelantan, mereka pun bercerita "Negeri jiran kita bukan main terang ganu di sana serta diterangnya erti ganu itu.

Suatu kemungkinan mengenai nama Terengganu terbit dari nama sungai "Terengan timbulnya pendapat ini, setelah penulis dan rombongan Persatuan Sejarah Cawangan Terengganu, membuat lawatan ke kawasan itu pada 5 hingga 11hb. Julai 1975 serta memerhati keadaan di sekelilingnya dan letak pecahan sungai itu.

Muara sungai Terengan berpecah dua, sebelah kanan mudik menghala ke sungai Kerabat dan di sebelah kirinya Kuala Terengan dan sungai Terengganu. Terengan pada masa dahulu telah menjadi sebuah kampong di Ulu Terengganu, jaraknya dari Kuala Terengganu Mati lebih kurang 24 km atau 40 km dari Kuala Berang mengikut sungai.

Oleh kerana keadaan pecahan anak sungai sedemikian kemungkinan pada zaman dahulu orang ada bertanya dengan soalan ini: hendak ke mana? Ke Terengan…nu (sana) atau ke Terengan…ni (ini) bererti ke sungai Terengan atau ke sungai Kerbat.

Ataupun terbit dari sebutan panggilan atau pertanyaan dari penduduk-penduduk asli yang datang atau mengembara dari sebelah jalan Ulu Pahang atau Ulu kelantan yang sampai ke pecahan Ulu Sungai Terengan itu, lalu mereka pun bertanya : Ke mana hendak pergi atau hendak tuju? Ke Terengan ni atau ke Terengan….nu.
Adalah dikatakan menurut pendapat ahli-ahli kajibumi yang melawat ke sebelah Ulu Terengganu, bahawa di bahagian Ulu itu asalnya boleh dikatakan laut atau sungai besar dengan berpandukan kepada kesan-kesan dan tanda-tanda yang dijumpai, maka haruslah keadaan itu kembali masanya beribu-ribu tahun dahulu.
Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal, hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi, lahir di negeri Mesir. P) yang dipercayai diperbuat di Iskandariah ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole" Maka pelabuhan "Perimula itu dipercayai ialah "Kuala Sungai Terengganu" dan pelabuhan "Kole" ialah "Kemaman".
Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".

Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "TING CHIA HSIA LU"(Teng Ka Ha Lo di dalam bahasa Hokkein) dan TING KA HA LOU"dalam bahasa Kantonis. Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang kelima belas ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, Negeri Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Petani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.

Di dalam syair jawa yang bernama"Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu). Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang. Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M ada menyebut beberapa nama di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou,Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo, nama-nama bagi Negeri Terengganu.
Kemungkinan boleh berlaku juga, Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan"Terenggani" dari bahasa Tamil bererti 'Tanah Berbukit', dan nama itu diberi oleh pelawat India yang mungkin sampai di Terengganu pada zaman dahulu kala ,kerana dilihatnya negeri ini di sepanjang pantainya dari laut banyak berbukit.

Batu bersurat yang dijumpai di kampong Buloh, Kuala Berang, kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1891M) ejaannya "Terkanu".

Maka di antara nama-nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu digelar"Darul-Iman" tidaklah dapat penyusun menentukan dengan sah, tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar(Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus-Salam".
Petikan : Sejarah Darul Iman
Oleh : Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)

SEJARAH AWAL


Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang. Dalam Negarakartagama, tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum masihi. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor ; Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama dihantar memerintah Terengganu. seterusnya Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera. Kemudiannya oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail. Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN

Kehidupan dan pendidikan awal
Baginda telah dilahirkan pada 22 Januari, 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, beliau kemudiannya pergi ke luar negeri untuk melanjutkan perajaannya di sekolah berprestij, Geelong Grammar School di Geelong, Australia. Dalam tahun 1988, baginda menghabiskan pembelajarannya di U.S. International University-Europe di London, memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.
Baginda telah melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst di England daripada 3 May 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Baginda telah dikomisyenkan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah memberikan khidmatnya di Askar Berkuda DiRaja.
Baginda telah dianugerahkan Putera Mahkota negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979, dan kemudiannya, pemangku Sultan Terengganu daripada 20 Oktober hingga 8 November 1990.
Baginda turut meminati sukan seperti sukan berkuda dan menyukai makanan barat kerana baginda amat menitik beratkan soal pemakanan baginda. Baginda juga merupakan Yang di-Pertuan Agong yang pertama yang diputerakan selepas kemerdekaan dan kedua termuda ketika ditabalkan iaitu selepas Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang ditabalkan ketika berusia 40 tahun.


Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Seri Paduka BagindaYang di-Pertuan Agong ke-XIII


Pemerintahan
13 Disember 2006

Pertabalan
26 April 2007

Negeri
Terengganu

Diputerakan
22 Januari 1962
Kuala Terengganu, Terengganu

Pendahulu
Tuanku Syed Sirajuddin

Pengganti
Raja Permaisuri Agong
Tuanku Nur Zahirah

Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah, Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj (22 Januari 1962 - ) adalah Sultan Terengganu yang ke-16. Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, ketua perlembagaan Malaysia mulai 13 Disember 2006.

TUANKU NUR ZAHIRAH


Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dilahirkan sebagai Siti Rozita binti Adil Bakeri telah dilahirkan pada 7 Disember 1973 bersamaan 12 Zulkaedah 1393 Hijrah. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan Sekolah Menengah St. Nichols Convent, Alor Setar. Baginda pernah mengikuti kursus dalam bidang sumber manusia.
Baginda Permaisuri Nur Zahirah telah melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996. Pasangan diraja ini menerima dua orang putera dan dua orang puteri. YTM Tengku Nadhirah Zaharah telah diputerikan 18 Disember 1996 dan YTM Tengku Muhammad Ismail telah diputerakan pada 1 Mac 1998. YTM Tengku Muhammad Muaz telah diputerakan pada 22 Disember 2000 manakala YTM Tengku Fatimatuz Zahra telah diputerikan pada 19 April 2002.
Baginda telah dimahkotakan sebagai Permaisuri pada 12 Julai 1998 dan dikurniakan Darjah Kerabat Terengganu Yang Maha Mulia Darjah Yang Pertama (D.K.) pada 16 Januari 1999. Baginda turut dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T.) pada 9 Julai 1998. Baginda telah dimasyhurkan dengan kurniaan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah pada 5 Jun 2005.
Seri Paduka Baginda Permaisuri Nur Zahirah telah dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Baginda merupakan penanung bagi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu serta Persatuan Hospis Terengganu. Baginda juga menaungi Persatuan Pandu Puteri Terengganu, Tadika An Nur dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Tuanku Nur Zahirah menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 4 Disember 2005 yang disampaikan oleh Canselor Kustem, Sultan Mizan pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Sultan Mizan, Kustem, Kuala Terengganu.
Baginda mempunyai minat yang mendalam dalam bidang hiasan dalaman dan mementingkan ruang kemas dengan persekitaran teratur, sempurna dan bersih. Disamping itu, baginda gemar memasak terutama hidangan istimewa untuk santapan baginda sekeluarga. Antara hobi baginda yang lain adalah membaca, snorkel dan bermain badminton.

Tuanku Nur Zahirah

Raja Permaisuri Agong ke-
13

Kelahiran
7 Disember 1973Alor Setar, Kedah
Kemangkatan
-
Mula jawatan

13 Disember 2006
Tamat jawatan
Masih memegang jawatan
Penyandang terdahulu

Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid
Penyandang kemudian
Masih memegang jawatan